Seseorang Muslim harus selalu memohon agar Allah SWT mewafatkannya dalam Husnul-khatimah, kerana syaitan yang terkutuk itu akan berkata: Aduh! Orang yang memohon Husnul-khatimah itu telah mematahkan tulang belakangku. Celaka, bilakah ia mau membangga-banggakan amalannya. Aku kuatir ia telah tahu tipudayaku.
Hendaklah anda memperbanyak mengucap kepujian dan kesyukuran kepada Allah Ta’ala atas nikmat Islam. Sebab nikmat Islam itu adalah setinggi-tinggi nikmat dan sebesar-besamya. Kalaulah ditakdirkan bahwa Allah mengaruniakan dunia dan seisinya kepada seorang hamba, tetapi tiada pula dikaruniakannya Islam, niscaya segala karunia itu akan menjadi bencana baginya. Sebaliknya pula, kalaulahAllah mengaruniakannya Islam, tetapi tiada diberikannya dunia, maka yang demikian itu tiadalah akan membahayakannya. Sebab orang yang pertama tadi, jika mati, tempatnya di neraka. Manakala orang yang kedua pula, jika mati, tempatnya di syorga.
Oleh sebab itu hendaklah anda senantiasa merasa takut akan Suul-khatimah itu, kerana tidak mustahil Allah boleh merobah kalbu hambaNya. Dia memberi petunjuk kepada siapa yang Dia sukai, dan menyesatkan pula siapa yang Dia sukai.
Dalam sebuah Hadis sahih, Rasulullah Shalallahu alaihi wa aalihi wa shahbihi wasallam telah bersabda:
والذي لا إله غيره, إن أحدكم ليعمل بعمل أهل الجنة, حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع, فيسبق عليه الكتاب, فيعمل بعمل أهل النار فيدخلها, وإن أحدكم ليعمل بعمل أهل النار, حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع, فيسبق عليه الكتاب, فيعمل بعمل أهل الجنة فيدخلها.
“Bahwasanya Dialah Tuhan, tiada Tuhan lain melainkan Dia. Adalah seseorang kamu akan beramal dengan amalan ahli syorga,sehingga jarak antaranya dengan syorga itu hanya sehasta saja, tibatiba kitabnya telah mendahuluinya, lalu ia pun beramal dengan amalan ahli neraka, maka ia akan masuk ke dalam neraka. Dan adalah seseorang kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka itu hanya sehasta saja, tibatiba kitabnya telah mendahuluinya, lalu ia pun beramal dengan amalan ahli syorga, maka ia akan masuk syorga.”
Hadits tersebut amat menggerunkan ahli taqwa dan orang-orang yang lurus perjalanannya. Apalagi dengan orang-orang yang sering lalai dan keliru dalam urusan agamanya.
Sebahagian salaf saleh berkata: Demi Allah, tiada seorang pun akan selamat dari agamanya, kiranya ia akan dipesongkan Allah, niscaya ia akan terpesong. Lantaran itu mereka sentiasa hidup dalam kebimbangan kalau-kalau mereka kelak diwafatkan di dalam Suulkhatimah, meskipun amal bakti mereka telah cukup dan dosa mereka amat sedikit.
Sebagian mereka pernah berkata: Kiranya aku diberi pilihan antara mati dalam Islam di pintu bilik dengan mati syahid di pintu rumah, niscaya aku pilih mati dalam Islam di pintu bilik dari mati syahid di pintu rumah, kerana aku masih ragu apa yang akan terlintas di hatiku nanti ketika aku berada di antara pintu bilik dengan pintu rumah.
Seorang saleh berkata kepada rekan-rekannya: Apabila telah tiba ajalku kelak, hendaklah kamu duduk di kepalaku dan memerhatikan kiranya aku mati di dalam Islam atau tidak. Andaikata kamu dapati aku mati dalam Islam, maka ambillah segala barang peninggalanku dan jualkan semuanya. Kemudian belikan dengannya gula-gula dan buah badam serta bagi-bagikan kesemuanya kepada kanak-kanak. Andaikata kamu dapati aku mati dalam selain Islam, maka hendaklah
kamu beritahu orang ramai yang ingin menyembahyangkan jenazahku supaya mereka mengetahui keadaan matiku sebelum menyembahyangkannya.
Sebelum itu orang saleh tersebut telah mengajarkan rekan-rekannya itu tanda-tanda bagaimana mereka boleh membedakan antara kedua mati itu. Berkata rekannya setelah orang saleh itu meninggal dunia: Aku telah mendapatinya mati di dalam Islam! Maka ia pun melaksanakan wasiat orang saleh itu dengan bersedekah kepada kanak-kanak.
Cerita-cerita yang sama dalam hubungan ini memang banyak sekali dan sudah termasyhur pula.