Berkata Al Habib Abdullah bin Alawi Al Haddad dalam kitab Nasoih Ad Diniyyah prihal mendidik anak:
Memaafkan kesalahan anak-anak
Sesudah itu adalah dirasakan perlu dan patut bagi kedua ibu bapa untuk membantu anak-anak mereka supaya berbakti kepada mereka sendiri. yaitu dengan memaafkan kesalahan-kesalahan anak-anak itu, tidak terlampau menekan mereka untuk menjalankan tugas dan kewajiban dan terlalu strict order (perintah secara paksaan), terutama sekali pada zaman kita ini, di mana kebaktian dan orang-orang yang gemar berbakti amat sedikit bilangannya, manakala penderhakaan dan orang-orang yang menderhaka amat banyak bilangannya tersebar di keliling pinggang. Oleh itu jika kita segera memaafkan kesalahan-kesalahan anak-anak itu, samalah seperti kita telah menyelamatkan dan melepaskan mereka dari dosa menderhakai kita, yang boleh menyebabkan mereka menerima balasan yang berat di dunia dan akhirat. Di samping itu kita akan memperoleh pahala dari Allah Ta’ala dan balasannya yang mulia, yang lebih utama dan lebih sempurna, lebih baik dan lebih kekal dari pahalanya kebaktian anak-anak itu terhadap kita, sesuai dengan bunyi
sebuah Hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
رحم الله والدا أعان ولده على بره
“Allah mengumiakan rahmat kepada seorang ayah yang membantu anaknya untuk berbakti kepadanya sendiri.”
Ibu bapa diingatkan, jangan sekali-kali suka menyumpah anak yang menderhaka, karena yang demikian itu akan menambah bahaya dan kerosakan dan membuka jalan untuk menderhaka terus. Sesudah itu segala bencana yang timbul dari penderhakaan itu akan kembali pula kepada kedua ibu bapa itu sendiri di dunia, sebab sumpah-serapah kedua ibu bapa itu sering mendapat pengabulan dari Allah SWT.
Apa yang harus dilakukan oleh kedua ibu bapa terhadap anak anaknya, ialah memohon segala perkara-perkara yang baik bagi mereka, dan tidak memohon yang tidak baik. Besar kemungkinan bahwa Allah SWT akan mengubah sikap anak itu disebabkan berkat doa kedua ibu bapanya, sehingga tanpa disangka-sangka sang anak itu akan kembali insaf, lalu berbakti pula kepada kedua mereka.
Maka kedua ibu bapa pun akan mendapat manfaatnya dan akan berlapang dada kerananya, manakala sang anak itu akan memperoleh pahala disebabkan kebaktiannya itu, sambil terselamat dari dosa yang berat. Allah sajalah yang akan memberikan taufiq dan membantu.
Tugas Ayah
Sang ayah mempunyai tugas dan kewajiban terhadap anak-anaknya; iaitu harus mengurus segala hajat dan keperluan anak-anak selagi mereka memerlukannya. Selain itu tugas ayah mesti mendidik anaknya, mengurus segala urusan hidupnya, membimbingnya kepada akhlak yang terpuji dan kelakuan yang baik serta perangai yang mulia, di samping memelihara dan menjauhkan mereka dari perkara perkara yang sebaliknya.
Tugas ayah yang lain, ialah untuk memberi anak nama yang baik, memilih isteri dari keturunan orang-orang yang berbudi-pekerti yang baik dan saleh, supaya menjadi ibu yang diberkati kepada anaknya kelak.
An-Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam Pernah bersabda:
تخيروا لنطفكم الأكفاء، فإن العرق دساس
“Letakkanlah air mani kamu pada tempat yang sesuai, kerana urat keturunan itu mempengaruhi.”
Tugas ayah lagi, hendaklah ia membahagi sama rata dalam pemberiannya kepada anak-anak. Tidak boleh ia melebihkan seorang atas yang lain, kerana pengaruh kasih-sayang ataupun mengikutkan kehendak hawa nafsu sendiri.
Tugas yang teramat penting atas seorang ayah terhadap anak anaknya, ialah memperelok perangai dan pendidikan mereka, supaya mereka sentiasa gemar berbuat baik, mengenal tugas dan kewajiban, dan memuliakan semua perintah dan larangan agama, di samping memperkecil urusan keduniaan dan melebih dan mengutamakan urusan keakhiratan. Orang yang mencuaikan pendidikan anak anaknya atas dasar-dasar yang tersebut di atas, tiada mengambil berat terhadap pengajaran mereka, malah ia membuka pintu hatinya supaya sentiasa gemarkan dunia dan terpengaruh di bawah telunjuknya, lalu anak-anak itu menderhakainya dan tidak mahu menurut tunjuk-ajarnya, maka janganlah ia menyalahkan orang lain melainkan diri sendiri. Kerugian selalu menimpa orang yang cuai dan lalai.
Dan dalam zaman ini pula terlalu banyak anak-anak yang menderhaka dan tidak mahu mendengar cakap kedua ibu bapa di mana-mana, yang mana jika kita selidiki sebabnya ialah karena kecuaian ibu bapa yang telah mensia-siakan pemeliharaan anak-anak itu dari sejak kecil, sebagaimana yang telah kita sebutkan perkaranya satu persatu sebelum ini. La hawla walaa quwata illaa billaah.