Berkata Al Habib Abdullah bin Alawi Al Haddad dalam kitab Nasoih Ad Diniyyah prihal Maksiat dan bahaya lisan:
Memelihara lidah
Lidah pula sama juga, yakni merupakan nikmat yang utama yang dikurniakan Allah terhadap hambaNya. Lidah mempunyai kebaikan yang banyak dan manfaat yang besar bagi orang yang memelihara dan menggunakannya untuk maslahat-maslahat yang kerananya ia diciptakan bagi manusia.
Allah SWT telah memberikan manusia lidah supaya ia menggunakannya dalam berzikir kepada Allah SWT, membaca kitabNya AI-Quran, memberi nasihat kepada umat manusia serta menyeru mereka kepada mentaati Tuhan, dan mengenalkan mereka apa yang diwajibkan Allah ke atas mereka dengan menjunjung tinggi semua hak-hakNya, dan supaya ia boleh melahirkan segala isi hatinya dari keperluan-keperluan yang berkait dengan urusan dunia dan akhirat. Jika ia menggunakan lidah itu untuk tujuan yang kerananya ia diciptakan oleh Allah baginya, maka tergolonglah ia antara orang-orang yang mensyukuri nikmat lidah itu. Jika ia menggunakannya, atau membiarkannya bersimaharajalela bertentangan dengan tujuan yang kerananya ia diciptakan, maka tergolonglah ia antara orang-orang yang menganiaya diri sendiri dan yang melanggar perintah.
Kemudian, hendaklah anda ketahui bahwasanya lidah itu, perkaranya amat penting sekali. Ia adalah anggota yang paling berkuasa di antara anggota-anggota yang lain, dan yang paling kuat untuk menarik tuannya kepada kecelakaan, kiranya ia tidak dipelihara dengan baik, ataupun dikawal dari perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah Ta’ala.
Di dalam sebuah Hadis tersebut:
وهل يكب الناس في النار على وجوههم، أو على مناخر هم، إلا حصائد ألسنتهم
“Bukankah manusia itu dilontarkan ke dalam api neraka menerusi wajah mereka, ataupun menerusi hidung mereka, disebabkan bencana Iidah mereka.”
Sabdanya lagi:
من كان يؤمن بالله واليوم الآخر، فليقل خيرا أو ليصمت
“Barangsiapa beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, hendaklah berkata yang baik, ataupun berdiam diri.”
Sabdanya lagi:
رحم الله امرأ قال خيرا فغنم، أو سكت عن شر فسلم
“Tuhan merahmati hambaNya yang berkata baik, lalu mendapat keuntungan, atau berdiam diri dari yang jahat, lalu terselamat.”
Sabdanya lagi:
من صمت نجا
“Siapa berdiam diri terselamat.”
Sabdanya lagi:
كل كلام ابن آدم عليه لاله، إلا ذكرا، أو أمرا بمعروف، أو نهيا عن منكر
“Setiap bicara anak Adam dikira atasnya, kecuali berzikir kepada Allah, ataupun menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat jahat.”
Sabdanya Lagi:
إن الرجل ليتكلم الكلمة من رضوان الله، ما يظن أن تبلغ ما بلغت، يكتب الله بها رصوانه إلى يوم يلقاه. وإن الرجل ليتكلم بالكلمة من سخط الله، ما يظن أن تبلغ ما بلغت، بكتب الله له بها في النار يخطه إلى يوم يلقاه
“Seseorang kamu akan berbicara dengan perbicaraan yang diridhai Allah, tiada dikiranya perbicaraan itu akan sampai ke mana sekalipun, niscaya Allah akan mencatatkan baginya keridhaan Allah Ta’ala, sehingga hari ia bertemu dengan Tuhannya kelak. Dan seseorang yang lain akan berbicara dengan perbicaraan yang dimurkai Allah, tiada dikiranya perbicaraan itu akan sampai ke mana sekalipun,niscaya Allah akan mencatatkan baginya kemurkaanNya di dalam api neraka, sehingga hari ia menemui Tuhannya kelak.”
Di dalam sabdanya yang lain, berbunyi:
أن العبد ليتكلم بالكلمة ما يلقى لها بالا فيهوى بها في النار أبعد من الثريا
“Sesungguhnya seorang hamba akan berbicara dengan kata-kata yang tidak diperhatikan terlebih dahulu, sehingga kerananya ia akan dilontarkan ke dalam api neraka dari sejauh bintang tsuraiya.”
Jelaslah kini, bahwa bahaya Iidah itu amat besar sekali, dan perkaranya membimbangkan. Tiada seorang pun yang akan terselamat dari bahaya itu, kecuali dengan berdiam diri, dan tidak berkata- kata melainkan jika perlu saja dan dengan kadar yang perlu pula. Jika ia menghabiskan masanya pada membaca Al-Quran dan memperbanyak zikrullah, adalah seribu kali lebih baik daripada menjerumuskan diri ke dalam perkara-perkara yang dilarang oleh agama, ataupun pada perkara-perkara yang tidak ada kena-mengena dengan din sendiri.
Dusta: Bencana yang terutama
Di antara bencana-bencana lidah yang terutama sekali, ialah berdusta. Yakni menyampaikan sesuatu berita tidak seperti yang benar-benar berlaku, sama ada mengakui sesuatu berita yang tidak pernah berlaku, misalnya dengan berkata: Telah berlaku begini dan begini, padahal perkara itu tidak pernah berlaku. Ataupun menafikan sesuatu yang pernah berlaku, misalnya dengan berkata: Tidak pemah berlaku begini dan begini, padahal perkara itu memang pernah berlaku.
Dosa berdusta atau bercakap bohong itu adalah dosa besar, kerana ia bertentangan dengan sifat iman. Lantaran itu orang yang berdusta itu terdedah dirinya oleh kemurkaan dan kutukan Allah SWT
Firman Allah Ta’ala:
إِنَّمَا يَفْتَرِي الْكَذِبَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْكَاذِبُونَ (105)(النحل : 105
“Hanyalah orang-orang yang tiada percaya kepada keterangan keterangan Allah itulah yang mengada-adakan kedustaan, dan merekalah orang-orang pendusta.” (An-Nahl: 105)
FirmanNya lagi:
فَنَجْعَلْ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ (آل عمران : 61
“Kami mengharapkan kutukan Allah menimpa orang-orang yang mendusta.”
(Ali Imran: 61)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda pula:
من أرد أن يلعن نفسه فليكذب
“Orang yang berdusta itu ialah orang yang melaknati diri sendiri. “
Sabdanya lagi:
إن الكذب يهدي إلى الفجور، وإن الفجور يهدي إلى النار. ولا يزال العبد يكذب ويتحرى الكذب حتى يكتب عند الله كذابا
“Sesungguhnya dusta itu akan menyeret tuannya untuk melanggar perintah Allah, dan melanggar perintah pula akan menyebabkan tuannya masuk neraka. Dan seseorang hamba itu akan terus berdusta dan suka menyampaikan berita-berita bohong, sehingga ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”
وسئل عليه الصلاة والسلام : أيكذب المؤمن ؟ فقال : لا، إنما يفتري الكذب الذين لايؤمنون بآيات الله
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam Pernah ditanya: “Bolehkah seorang Mu’min itu bercakap bohong? Jawab baginda: Tidak boleh. Hanyasanya orang-orang yang bercakap bohong itu, ialah orang-orang yang tiada mempercayai keterangan-keterangan Allah.”