Berkata Al Habib Abdullah bin Alawi Al Haddad dalam kitab Nasoih Ad Diniyyah prihal Puasa Sunnah:
Puasa yang utama
Ketahuilah, bahwasanya puasa yang paling utama ialah puasa di dalam bulan Ramadhan, sebagaimana biasanya dengan fardhu-fardhu dari segi kelebihan dan keutamaannya. Yakni, semua yang fardhu itu tentu lebih utama dari yang sunnah dari yang sama jenisnya.
Sabda Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam:
ما تقرب المتقربون إلي بمثل أداء ما افترضته عليهم . ولا يزال العبد يتقرب إلي بالنوا فل حتى أحبه ……….(الحديث
“Tiada sama sesuatu yang dibuat oleh orang-orang yang mendekatkan dirinya kepadaKu, seperti mereka mengerjakan sesuatu yang Aku fardhukan ke atas mereka. Dan selama seseorang itu mendekatkan dirinya kepadaKu dengan mengerjakan amalan-amalan sunnat sehingga Aku mencintanya ….. ” hingga ke akhir Hadis. Sesudah itu puasa di dalam bulan-bulan haram; iaitu empat bulan kesemuanya: Dzul-Qa’dah, Dzul-Hijjah, Muharram dan Rajab, sesuai dengan firman Allah Ta’ala:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ
(التوبة: 36)
“Sesungguhnya jumlah bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan dalam ketetapan Allah, di hari Dia mencipta langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram.” (At-Taubah: 36)
Ada suatu riwayat yang mengatakan bahwa berpuasa sehari dalam bulan haram itu menyamai pahala berpuasa tiga puluh hari dari selain bulan. Dan seterusnya berpuasa sehari dari bulan Ramadhan menyamai pahala berpuasa tiga puluh hari dari bulan-bulan haram. Riwayat yang lain mengatakan pula, bahwa sesiapa yang berpuasa tiga hari berturut-turut dari hari-hari di bulan-bulan haram; iaitu Khamis, Jumaat dan Sabtu, niscaya dia akan dilindungi Allah dari api neraka.
Puasa enam sesudah Ramadhan
Di antara puasa sunnah yang dituntut ialah puasa enam hari dari bulan Syawwal, sebaik-baik saja selesai puasa Ramadhan, sebagai ucapan selamat jalan kepada bulan itu, ataupun sebagai menampai kecacatan yang mungkin berlaku dalam puasa itu. Bukankah yang sunnat itu selalunya untuk mencukupi yang kurang di dalam yang fardhu?
Sabda Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam:
من صام رمضان , ثم أتبعه ستا من شوال, فكأنما صام الدهر كله
“Barang siapa yang berpuasa Ramadhan, lalu di ikutkannya dengan puasa enam hari dari Syawwal, maka seolah-olahnya ia telah berpuasa sepanjang abad.”
Puasa Hari Arafah dan Hari Asyura
Di antara keutamaan puasa lagi, ialah berpuasa pada Hari Arafah; iaitu hari kesembilan dari bulan Dzul-Hijjah. Ada suatu riwayat mengatakan, bahwa berpuasa pada hari itu akan menebus dosa dua tahun. Para ulama berkata: Puasa Hari Arafah itu adalah puasa yang paling utama dalam setahun sesudah puasa Ramadhan, akan tetapi orang yang sedang mengerjakan amalan haji tidak dituntut melakukannya, agar ia tidak lemah beramal. di waktu wuquf di Arafah untuk mengerjakan amalan haji.
Adapun Puasa Asyura; iaitu puasa pada 10 hari bulan Muharram. Ada riwayat mengatakan bahwa berpuasa pada hari itu akan menebus dosa setahun.
Puasa tiga hari setiap bulan
Di antara puasa sunnat yang dituntut, ialah berpuasa tiga hari pada setiap bulan. Terdapat banyak Hadis yang mengatakan bahwa puasa ini menyamai pahala berpuasa sepanjang abad. Jika orang yang berpuasa itu memilih malam-malam bulan terang adalah lebih utama dan lebih baik. Sebab terdapat suatu riwayat yang mengatakan bahwa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah meninggalkan puasa pada malam-malam bulan terang itu, sama ada ketika berada di dalam negeri mahupun ketika dalam pelayaran. Hari-harinya ialah 13, 14 dan 15 dari tiap-tiap bulan. Tetapi jika ia memilih tiga hari yang lain pun boleh juga, hanya tiga hari yang tersebut tadi yang utama. Begitu juga jika ia berpuasa tiga hari tidak berturut-turut pun boleh juga.
Sayogya bagi seorang ahli ibadat, agar tidak meninggalkan puasa tiga hari setiap bulan, kerana mengerjakan puasa ini tidaklah begitu berat, akan tetapi keutamaannya besar sekali. Jika keutamaannya hanya kerana ia menyamai puasa sepanjang abad saja pun sudah memadai. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah berpesan kepada sekumpulan para sahabatnya supaya berpuasa tiga hari setiap bulan. Berkata baginda: Nabi Nuh telah berpuasa sepanjang abad. Nabi Daud telah berpuasa setengah abad; iaitu beliau berpuasa satu hari dan berbuka satu hari Nabi Ibrahim pula telah berpuasa sepanjang abad dan berbuka sepanjang abad juga; iaitu beliau sentiasa berpuasa tiga hari dari setiap bulan, shalawatullahi-‘alaihim ajma’in.
Padaku, semulia-mulia puasa ialah puasa Nabi Allah Daud; iaitu berpuasa sehari dan berbuka sehari, dan puasa ini adalah lebih utama dari berpuasa terus-menerus sepanjang masa, sebagaimana yang disebut oleh beberapa Hadis yang sahih.
Berkata imam Ghazali rahimahullah: Puasa Nabi Daud Alaihi wa salam itu adalah lebih berkesan dalam mendidik diri dan lebih kuat untuk menentang kehendak hawa nafsu dari pada puasa sepanjang masa.
Berpuasa lsnin dan Khamis setiap minggu pun mempunyai kelebihan yang utama, kerana Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam tidak pernah meninggalkannya.
Baginda bersabda:
يومان تعرض فيهما الأعمال على الله , فأحب أن يعرض عملي وأنا صائم
”Amalan manusia dibentangkan di hadapan Allah Ta’ala pada dua hari itu (Isnin dan Khamis), maka aku ingin apabila dibentangkan amalanku, ketika aku berpuasa.”
Dan berpuasa pada HariJumaat juga dituntut disebabkan keutamaan dan kemuliaan hari itu. Akan ·tetapi puasanya harus digandirigkan dengan puasa Khamis atau Sabtu, kerana Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam pernah melarang orang yang berpuasa pada Hari Jumaat semata-mata.
Hikmat memperbanyak puasa
Tegasnya hendaklah anda memperbanyak puasa pada bila-bila masa saja. Sebab puasa itu merupakan salah satu cara yang berkesan dalam mendidik diri, mematahkan kehendak hawanafsu, menerangkan dan melembutkan hati, mengontrol semua anggota badan dan meluruskan, serta mencergaskannya untuk melakukan ibadat. Dalam mengerjakan puasa itu akan mendapat pahala yang besar, dan ganjaran yang mulia, yang tidak dapat dikira atau dibataskan.
Tiap-tiap amal ibadat yang kita kerjakan itu ada had dan batasnya tentang pahalanya, kecuali puasa saja, maka pahalanya tidak dapat ditentukan dengan kadar yang tertentu, ataupun dibataskan sampai sekian dan sekian.
Sabda Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam:
كل عمل ابن آدم يضاعف له , الحسنة بعشر أمثالها , قال تعالى : إلا الصوم فإنه لى وأنا أجزي به , يدع الأنسان طعامه وشرابه وشهوته من أجلي. للصائم فرحتان : فرحة عند إفطاره , وفرحة عند لقاء ربه . ولخلوف فم الصائم عند الله أطيب من ريح المسك .
“Setiap amal anak Adam, diperlipat-ganda pahalanya sepuluh kali ganda seumpamanya. Berkata Allah Ta’ala: Kecuali puasa, maka amal itu adalah untukKu, dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (orang yang berpuasa itu) telah meninggalkan makan, minum dan Menahan syahwatnya keranaKu. Orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa, dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhan . Adalah bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah dari pada bau-bauan minyak kasturi. “
Cubalah anda renungkan firman Allah dalam potongan Hadis di atas ini iaitu; kecualipuasa, maka amal itu adalah untukKu, dan Aku sendiri akan membalasnya. Cuba anda telitikan janji yang mutlak dari Tuhan Yang Maha Mulia, Maha Murah hati dan Maha Belas-kasihan. Kemudian renungkan pula maksud bau mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih harum di sisi Allah dari pada bau-bauan minyak kasturi. Gambarkan betapa bau mulut itu dipandang lebih harum di sisi Allah Ta’ala.
Lantaran kelebihan bau mulut dan keutamaannya di sisi Allah Ta’ala, maka dihukumkan makruh bagi orang yang berpuasa bersiwak (bersugi) selepas matahari tergelincir hingga waktu berbuka puasa, sebab bersiwak itu akan menghilangkan bau mulut ataupun mengurangkan baunya,
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallambersabda:
في الجنة باب يقال له الريان , لايدخله إلا الصائمون , فإذا دخلوا منه أغلق
“Dalam syorga ada suatu pintu dinamakan Raiyaan, tiada dibenarkan masuk menerusinya kecuali orang-orang yang berpuasa saja, Apabila mereka sekalian telah masuk, pintu itu ditutup,”
Sabdanya lagi:
. الصوم نصف الصبر . ولكل شيء زكاة الجسد الصوم
“Puasa itu setengah sabar, Bagi tiap-tiap perkara ada zakatnya,dan zakatnya badan ialah puasa,”
Sabdanya lagi:
الصوم جنة , وحصن حصين من النار
“Puasa itu adalah pelindung dan benteng yang kukuh dari api neraka,” .
Assalamualaikum Wr Wb
Dari uraian di atas , saya tidak mendapati tentang puasa Nabi Dawud AS.
Jika saya boleh bertanya , mengapa di atas tidak terdapat pula puasa Nabi Dawud AS ?
Saya membaca dalam sebuah buku bahwa puasa sunnah yg paling dicintai Allah adalah puasanya Nabi Dawud AS ,,,,
Benarkah begitu ?
Maka sebab itu kemarin saya meninggalkan amalan sunnah shaum syawal dan menggantinya dgn puasa Nabi Dawud AS
Apakah saya keliru ?
Mohon pertolongan dan tunjukkan kepada saya apa yg lebih haq , sebab saya orang awam,,,
Atas perhatian dan tanggapan dan jawaban , saya haturkan terima kasih
Jazakallahu khairan katsiran
Wassalamualaikum Wr Wb
Wa’alaikumsalam,
Puasa nabi daud adalah jenis puasa yang sangat afdhol dan mulia.. Sehari berpuasa dan sehari berbuka.. Dan begitu seterusnya.. Orang yang istiqomah semasa hidupnya melakukan puasa Daud maka dia telah menjadikan setengah dari hidupnya dalam keadaan berpuasa.
Dan pahala baginmereka yang berpuasa tulus karena Allah adalah sangat besar sekali.. Masuk ke dalam surga melalui pintu yang spesial yaitu pintu rayyan.. Anugrah dan ganjaran tak terbatas hanya dari sang kholiq.
Demikian fadhilah puasa daud yang luput kami masukkan dalam artikel kami..