Berkata Al Habib Abdullah bin Alawi Al Haddad dalam kitab Nasoih Ad Diniyyah prihal Shalat sunnah:
Memelihara rawatib dan Sunnah
Tidaklah sempurna memelihara semua Shalat-Shalat fardhu, melainkan dengan memelihara juga semua rawatib dan Sunnah-Sunnah yang dianjurkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk mengerjakannya sebelum dan sesudah Shalat-sembayang fardhu. Sebab ia dianjurkan ialah kerana Shalat-Shalat rawatib dan Sunnah itu dapat menggantikan Shalat-Shalat fardhu yang tidak sempurna, demikianlah sebagaimana yang diriwayatkan dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tegasnya, jika terdapat dalam salah satu Shalat fardhu sesuatu kekurangan atau kekhilafan disebabkan kurang khusyu’, atau tidak hadirnya hati ketika itu, ataupun sebagainya, maka Shalat-Shalat Sunnahlah yang akan menambal kekurangan itu serta memperbaiki kekhilafan tersebut. Orang yang tidak mengerjakan Shalat-Shalat Sunnah, jadilah Shalat-Shalat fardhunya kurang dan terlepas peluang untuk memperolehi pahala-pahala yang besar yang disediakan untuk Shalat Shalat Sunnah itu.
Ada sebuah riwayat yang mengatakan, bahwa perkara yang pertama-tama dihitung ke atas seseorang hamba di Hari Kiamat ialah Shalatnya. Jika didapati Shalatnya kurang, akan dilihat pula apakah ada baginya Shalat-Shalat Sunnah, agar dapat menambal segala kekurangan yang berlaku di dalam semua Shalat fardhu tadi.
Shalat-Shalat Sunnah yang dianjurkan itu telah termaklum dan terkenal di dalam syariat, yang mana tidak perlu dibicarakan lagi satu persatu di sini.
Shalat Witir
Shalat witir adalah salah satu Sunnah yang sangat dituntut dan dipinta melazimkan diri mengerjakannya.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:
إن الله وتر يحب الوتر، فأوتروا يا أهل القرآن
“Sesungguhnya Allah Ta’ala itu witir (ganjil) , dan Dia suka akan witir, maka lazimkanlah Shalat witir, wahai ahli-ahli AI-Quran.”
Setiap Muslim dihitung dari ahli-ahli Al-Quran, kerana ia telah beriman dengan AI-Quran serta dituntut untuk mematuhi perintah perintah yang tersimpul di dalam AI-Quran .
Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lagi:
الوتر حق، فمن لم يوتر فليس منا
“Witir (Keesaan Allah) itu adalah hak (benar). maka barang siapayang tidak berShalat witir, bukanlah ia dari golongan kami.”
Banyaknya Shalat witir itu ialah 11 rakaat, dan sekurang-kurangnya satu rakaat saja, yang mana tiada wajar kita melalaikannya. Dan tiada bersalah, jika dilakukan dengan 3 rakaat saja.
Orang yang menjadikan Shalat witirnya 3 rakaat, Sunnah ia membaca sesudah Al-Fatihah dalam rakaat pertama surah Sabbihisma Rabbikal-A’la. Pada rakaat kedua ia membaca pula Qul Yaa aiyuhal-Kafiruun. Pada rakaat ketiga ia membaca pula Qul Huwallahu Ahad, dan Qul a’udzu Birabbil-Falaq, dan Qul a‘udzu BirabbinNaas. Jika ia Shalat lebih dari 3 rakaat, maka bolehlah ia membaca pada rakaat-rakaat selain dari yang tiga tadi apa-apa surah atau ayat dari AI-Quran, jika panjang lebih afdhal (utama). Dan pada tiga rakaat yang terakhir pula, bacakanlah surah-surah yang telah disebutkan di atas tadi.
Mengerjakan Shalat witir di bahagian akhir malam adalah lebih afdhal bagi orang yang biasa bangun beribadat di tengah malam, yang mana jarang-jarang sekali ia terluput dari mengerjakan Shalat itu. Tetapi bagi orang yang tidak biasa, bolehlah ia mengerjakannya sebelum ia tidur, dan yang demikian itu adalah baik dan lebih utama baginya. Sekiranya ia telah pun berwitir sebelum tidur, lalu ia terjaga di tengah malam pula dengan maksud hendak berShalat, maka bolehlah ia berShalat seberapa banyak yang ia kehendaki, sedang witimya yang mula-mula tadi telah pun sempuma dan memadai.
Shalat Dhuha
Di antara Shalat Sunnah yang harus dipelihara ialah Shalat Dhuha. Sekurang-kurang Shalat Dhuha ialah 2 rakaat, dan sebanyak-banyaknya ialah 8 rakaat, dan pada setengah kaul hingga 12 rakaat, manakala kelebihannya amatlah besar.
Waktunya yang afdhal untuk mengerjakan Shalat Dhuha ini, ialah setelah berlalu sedikit dari seperempat siang.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:
يصبح على كل سلامى من أحدكم صدقة، وكل تسبيحة صدقة، وكل تحميدة صدقة، وكل تهليلة صدقة، وكل تكبيرة صدقة، وأمر بالمعروف صدقة، ونهى عن المنكر صدقة، ويجزىء عن ذلك ركعتان يركعهما من الضحى.
“Setiap anggota kamu pada setiap hari dapat berbuat sedekah, kerana pada setiap tasbih sedekah, setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah, setiap takbir sedekah, dan menyuruh berbuat baik adalah sedekah, juga melarang berbuat jahat adalah sedekah, dan memadailah mengganti semua itu dengan dua rakaat yang dikerjakan pada waktu Dhuha.”
Sabdanya yang lain:
من حافظ على شفعة الضحى، غفرت له ذنوبه، ولو كانت مثل زبد البحر
“Sesiapa yang memelihara dua rakaat Dhuha, niscaya terampun semua dosanya, sekalipun sebanyak buih laut.”
Shalat di waktu ini dinamakan juga dengan Shalat Awwabiin, dan kelebihannya sama seperti Shalat di antara waktu Maghrib dan Isya’. Maksud Awwabiin lalah kembali kepada Allah Ta’ala pada masa-masa lalai. Kedua waktu untuk Shalat Dhuha dan Shalat antara Maghrib dan Isya’ termasuk waktu waktu yang senantiasa manusia lalai. Waktu yang pertama ialah kerana manusia terlalu bertungkus-tumus mencari sara hidup dan keuntungan dunia. Manakala waktu yang kedua ialah kerana kesibukan manusia hendak kembali ke rumah masing-masing dan untuk menjamu selera. Oleh itu maka barangsiapa yang kembali kepada Tuhan dan menyediakan diri untuk beribadat dan bertaat kepadaNya pada waktu waktu tersebut, niscaya akan mendapat kedudukan yang tinggi di sisiNya.
Shalat Tasbih
Shalat tasbih adalah di antara Shalat-Shalat Sunnah yang amat digalakkan oleh agama; yaitu 4 rakaat. Ada banyak riwayat yang menunjukkan keutamaan Shalat ini, dan barangsiapa yang mengerjakannya akan diampuni Allah segala dosanya yang berlalu dan yang akan datang.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pemah berkata kepada pamannya yang bernama Sayidna AI-Abbas, ketika mengajarnya tentang Shalat ini; sabdanya:
صلها في كل يوم، أوفي كل جمعة أو في كل شهر أو في كل سنة، أوفي العمر مرة
“Kerjakanlah Shalat tasbih itu pada setiap hari sekali, ataupun pada setiap Jumaat sekali, ataupun pada setiap sebulan sekali,ataupun pada setiap tahun sekali, ataupun sekali seumur hidup.”
Setengah ulama berkata: Shalat tasbih ini mujarrab untuk menghasilkan setiap hajat yang penting. Setengah ulama pula telah mensyaratkan : Jika dikerjakan pada waktu malam, hendaklah dimulakan dengan dua kali takbiratul-ihram, dua kali tasyahhud dan dua salam, dua rakaat, kemudian dua rakaat lagi. Jika dikerjakan pada waktu siang, maka cukuplah dengan satu takbiratul-ihram, satu tasyahhud, dan empat rakaat sekaligus.
Shalat tasbih ini ada dua cara:
Pertama : Mula-mula anda membaca takbiratul-ihram, kemudian membaca doa iftitah. Sesudah itu anda membaca pula tasbih ini: Subhanallah walhamdulillah walaa ilaaha illallaah wallaahu akbar (15 Kali). Kemudian anda membaca pula surah AI-Fatihah dan satu surah sesudahnya. Sesudah itu bacalah lagi tasbih di atas tadi sebanyak 10 kali. Kemudian ruku’ dan membaca tasbih tersebut sebanyak 10 kali. Kemudian tegak dan ruku’ dan membaca tasbih sebanyak 10 kali. Kemudian sujud dan baca tasbih 10 kali. Kemudian duduk dan baca tasbih 10 kali. Sujud lagi dan baca tasbih 10 kali. Lalu berdiri untuk menunaikan rakaat kedua pula. Dan sebelum membaca apa-apa hendaklah membaca tasbih terlebih dahulu sebanyak 15 kali, kemudian lakukanlah yang lain-lain seperti rakaat yang pertama sehingga akhir.
Kedua: Anda melakukannya seperti yang pertama tadi juga, cuma anda tidak membaca tasbih di antara takbiratul-ihram dan surah AI-Fatihah, tetapi memadailah anda membaca tasbih itu sesudahnya saja; yaitu sebanyak 15 kali. Kemudian ruku’ dan membaca tasbih sebanyak 10 kali, dan demikianlah seterusnya menurut cara-cara yang tersebut di atas tadi dengan bertasbih sepuluh, sepuluh pada tiap-tiap rukun. Baki (sisa) 10 tasbih lagi, hendaklah anda membacanya sesudah bangun dari sujud kedua, sama ada sebelum berdiri ataupun sesudahnya dan sebelum membaca AI-Fatihah, moga-moga anda faham cara-caranya kini.
Jadi pada tiap rakaat ada sebanyak 75 tasbih yang dibaca, dan pada empat rakaat dibaca sebanyak 300 tasbih semuanya.
Setengah ulama berkata: Hendaklah ia membaca zikir-zikir yang biasa dibaca pada ruku’, i’tidal, sujud dan duduk antara dua sujud sebelum membaca tasbih. Sesiapa yang lupa membaca tasbih, atau lupa sebahagian darinya pada sesuatu rukun, hendaklah ia membacanya pada rukun sesudahnya.
Pada pendapatku, setiap orang yang rajin beribadat tidak harus meninggalkan Shalat ini, sekurang-kurangnya seminggu sekali, ataupun setiap bulan sekali. Wallahu-a’lam.
Beribadat antara Maghrib dan Isya’
Di antara Sunnah yang amat dituntut ialah mengisikan masa antara Maghrib dan Isya’ dengan berShalat. ltulah yang paling afdhal sekali. Ataupun gunakanlah masa itu dengan membaca AI-Quran atau berzikir kepada Allah Ta ‘ala seperti bertasbih, bertahlil dan sebagainya.
Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
من صلى بعد المغرب ست ركعات لا يفصل بينهن بكلام عدلن له عبادة اثنتي عشره سنة
“Sesiapa yang berShalat enam rakaat sesudah Maghrib, tidak diselang antaranya dengan sesuatu bicara, niscaya samalah pahalanya dengan ibadat dua belas tahun.”
Pada riwayat yang lain: Sesiapa yang berShalat dua puluh rakaat antara Maghrib dan Isya’, akan dibina untuknya sebuah rumah di syurga.
Tegasnya, waktu antara Maghrib dan Isya’ itu adalah waktu yang paling mulia dan paling utama. Maka adalah wajar sekali anda menggunakannya dengan memperbanyak amal ibadat dan kerja taat, serta meninggalkan pekerjaan yang sesia dan perbuatan yang melalaikan.
Ada riwayat yang mengatakan makruh tidur sebelum Shalat Isya’, maka hendaklah anda menjaga diri dari perkara itu, kerana ia adalah dari adat kebiasaan orang-orang Yahudi.
Dalam sebuah Hadits tersebut:
من نام قبل صلاة العشاء فلا أنام الله عينه
“Siapa yang tidur sebelum Shalat Isya’, moga-moga Allah tiada tidurkan matanya.”
Shalat Sunnah selepas Isya’
Hendaklah anda lazimkan Shalat Sunnah empat rakaat sesudah Shalat Isya’, kerana padanya terdapat banyak kelebihan, sebagaimana sabda RasuluIlah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
أربع بعد العشاء كمثلهن من ليلة القدر
“Empat rakaat (Sunnah) sesudah Isya’, sama pahalanya seperti empat rakaat pada malam Lailatul-qadar.”
Satu rakaat pada Lailatul-qadar sama pahalanya dengan tiga puluh ribu rakaat ada malam-malam yang lain. Ini dapat dihitung dari maksud firman Allah Ta’ala: Malam Lailatul-qadar itu lebih utama dari seribu bulan, cubalah anda renungkan.
Berbual-bual kosong sesudah Shalat Isya’ adalah sangat makruh, kecuali pada perkara-perkara baik, seperti mempelajari ilmu pengetahuan, atau bermuzakarah mengenainya, atau menstudi perkara-perkara seumpama itu dari amal-amal kebajikan.