Berkata Al Habib Abdullah bin Alawi Al Haddad dalam kitab Nasoih Ad Diniyyah prihal berprilaku baik kepada isteri dan suami:
Berbakti kepada anak-isteri
Adapun berbakti kepada anak-isteri dan orang-orang yang berada di dalam tanggungan seseorang, seperti orang yang dipeliharanya atau orang yang berada di bawah jagaannya, maka wajiblah atasnya menanggung nafkah mereka seperti makan-minum dan pakai, juga menjaga hak-hak masing-masing serta memimpin mereka ke jalan yang diridhai Allah, seperti menunaikan tugas-tugas agama yang boleh menjamin keselamatan mereka di Hari Akhirat.
Hendaklah ia menyuruh mereka menunaikan segala yang wajib dengan menjalankan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya. Dalam hal ini, Allah SWT telah berfirman khusus mengenai hak wanita:
وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ) البقرة: 228)
“Kaum perempuan itu mempunyai hak seimbang dengan kewajibannya secara patut.” {AI-Baqarah: 228}
FirmanNya lagi:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ (النساء : 19
“Pergaulilah mereka (perempuan-perempuan) itu secara patut.” { An-Nisa’: 19}
FirmanNya lagi:
فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلا (النساء :34
“Jika mereka menurut kemahuan kamu, maka janganlah mencari jalan untuk menganiayai mereka.” (An-Nisa’: 34)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
استوصوا بالنساء خيرا
“Pesan-memesanlah dengan baik terhadap kaum perempuan.”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sentiasa memesankan kita supaya memelihara kaum wanita {isteri-isteri} dengan baik, berbelas-kasihan terhadapnya dan mempergauli mereka dengan perasaan kasih-sayang.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
خياركم خياركم لنسائهم
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik terhadap isteri-isterinya.”
Sabdanya yang lain:
خيركم خيركم لأهله, وأنا خيركملأهلي
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik terhadap isterinya, dan akulah orang yang paling baik terhadap isteriku.”
Lantaran itu, maka semua orang harus berlaku baik terhadap isterinya, berlemah-lembut, berbelas-kasihan, senantiasa bersabar terhadap kekasarannya, menanggung segala buruk-lakunya, serta bersedia memaafkan segala kecuaian dalam hak dan tugas yang wajib atasnya. Adapun tentang hak-hak Allah dan tugas terhadap agama, maka hendaklah menyuruhnya menunaikan dengan cukup dan sempuma, dan tidak boleh bertolak-ansur sama sekali.
Seterusnya, tidak boleh membiarkan orang perempuan mengendalikan urusannya sendiri, dan menyerahkan kuasa untuk mengurus diri dan hartanya sendiri, sebagaimana yang biasa dibuat oleh setengah- setengah orang kaya yang bodoh. Yang demikian itu adalah di antara perkara-perkara yang dipandang buruk oleh syara’ dan oleh akal, kerana perempuan itu hukumnya sama dengan hukum hamba sahaya yang wajib menurut. Barangsiapa yang menjadi pak turut kepada kemahuan hamba sahaya, ataupun mengikut kehendak orang bawahannya, maka perkaranya menjadi terbalik, yang buntut menjadi kepala, dan kepala menjadi buntut.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
لن يفلحو قوم ولوا أمرهم امرأة
“Tidak akan beruntung kaum yang menyerahkan urusannya kepada seseorang perempuan.”
Berkata AI-Hasan Al-Bishri rahimahullah: Tiada seorang lelaki yang menurutkan kemahuan isterinya, melainkan Allah akan menjerumuskannya ke dalam neraka.
Wajib adil antara isteri-isteri
Sekiranya seorang lelaki itu mempunyai dua isteri atau lebih dari dua, maka wajiblah ia berlaku adil di antara isteri-isterinya itu. Jika ia tidak adil, niscaya ia akan terjerumus ke dalam bahaya dan dosa.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
من كانت عنده امرأتان فلم يعدل بينهما، جاء يوم القيامة وشقه مائل
“Barang siapa mempunyai dua orang isteri, dan ia tiada berlaku adil antara keduanya, niscaya ia datang di Hari Kiamat sedang sebelah badannya miring.”
Hak suami atas isteri
Adapun hak suami atas isteri sangat besar, dan menunaikan hak itu dengan baik akan menghasilkan pahala yang besar pula bagi isteri, manakala mengabaikan dan melalaikan hak itu akan menghasilkan dosa yang besar.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
لو أمرت أحدا أن يسجد لأحد , لأمرت المرأة أن تسجد لزوجها
“Kiranya boleh aku menyuruh seseorang untuk menyembah seorang yang lain, niscaya aku akan menyuruh sang isteri untuk menyembah suaminya.”
Sebabnya ialah karena hak suami itu amat besar di atas pundak isteri.
Sabdanya yang lain:
أيما امرأة باتت وزوجها عنها راض دخلت الخنة
“Mana satu isteri yang menginap sepanjang malam, sedang suaminya ridha terhadapnya, ia mudah masuk syorga. ”
Sabdanya yang lain:
إذا صلت المرأة خمسها، وصامت شهرها، وحفظت فرجها، وأطاعت زوجها، قيل لها : ادخلي من أي أبواب الجنة شئت
“Kiranya seorang perempuan itu bersembahyang lima waktu, berpuasa sebulan puasa,memelihara kehormatannya, dan mentaati suaminya, akan dikatakan kepadanya: Masuklah ke dalam syorga dari mana satu pintu yang engkau mahu.”
Sabdanya lagi:
لاينظر الله تبارك وتعالى إلى امرأة لا تشكر زوجها وهي لا تستغني عنه
“Allah Tabaraka wa Ta’ala tidak akan memandang dengan pandangan rahmat terhadap seorang isteri yang tiada mensyukuri suaminya, sedang ia tiada Pernah dihampakan oleh sang suami. “
Sabdanya lagi:
إذا دعا الرجل زوجته إلى فراشه فلم تأته، فبات غضبان عليها، لعنتها الملائكة حتى تصبح
“Jika suami mengajak isterinya ke pembaringan, sedang ia tiada memenuhi kehendak suami, sehingga menyebabkan suami tidur marah sepanjang malam, maka para Malaikat akan mengutukinya hingga ke pagi.”
Oleh itu setiap isteri wajib mentaati suaminya, tiada membangkangnya, tiada membenarkan orang lain datang ke rumahnya, bersedekah dari hartanya, dan tidak boleh keluar dari rumah melainkan dengan izin dan ridhanya. Jika isteri melakukan sesuatu dari perkara-perkara yang tersebut tanpa izin suami, maka berdosalah ia.Apabila suami mengajaknya ke pembaringan, sang isteri tiada boleh menolaknya kecuali dengan izin syar’i.
Kesimpulannya, maka hak suami atas isteri amat besar, sehingga Pernah diriwayatkan dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam : “Sekiranya badan lelaki itu penuh luka-Iuka dari pada kepala hingga ke tapak kaki, lalu dijilat oleh isterinya, masih belum cukup menunaikan hak suami yang diwajibkan ke atasnya.”
Sayogyanya hendaknya setiap isteri berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi segala tanggung jawab terhadap suami, dan tidak melalaikan atau mencuaikan sesuatu pun, agar ia boleh memperoleh pahala yang besar dari Allah Ta’ala serta keridhaanNya, di samping terselamat dari pada siksa dan kemurkaanNya.
Begitu pula setiap suami patut memaafkan isterinya atas setengah-setengah kesalahan, dan jangan pula terlalu menuntut daripadanya supaya memenuhi semua hak-haknya tanpa timbang rasa sehingga menyebabkannya berdosa, kerana kaum wanita itu serba-serbi kekurangan dalam akal dan agama. Sudah menjadi tabiatnya suka meringan-ringankan dan melalaikan hak-hak suami. Maka barang siapa yang suka memaafkan atas kesalahan-kesalahan isterinya, niscaya Allah akan memaafkan kesalahan-kesalahannya. Siapa yang melupakan kekhilafan orang lain, niscaya Allah akan melupakan kekhilafannya sendiri.