Saiyidina Ali karramalIahu-wajhah berkata: Adapun bagi Allah SWT di muka bumi ini bejana-bejana; itulah hati manusia. Sebaikbaik hati ialah yang bersih, tegas dan lunak. Kemudian beliau menjelaskan pula: Maksudnya, bersih dalam keyakinan, tegas dalam urusan agama, dan lunak dalam pergaulan dengan kaum Muslimin.
Yang dimaksudkan dengan keyakinan, ialah keteguhan dan penguasaan iman di hati, sehingga menimbulkan ketenangan, sebagaimana yang dipohonkan oleh Nabi Ibrahim alaihi sallam kepada Allah Ta’ala sesuai dengan apa yang diceritakan kepada kita oleh AI-Quran AI-Karim:
قال أولم تؤمن, قال بلى ولكن ليطمئن قلبي. (البقرة:26)
“Allah berkata kepada Nabi Ibrahim: Apakah engkau tidak percaya? Jawab Nabi Ibrahim: Bahkan, agar hatiku menjadi tenang.” (AI-Baqarah: 260)
Kini nyatalah, bahwasanya keyakinan itu puncak keimanan dan kesudahannya.
Dalam sebuah Hadits tersebut:
اليقين هو الإيمان كله.
“Keyakinan itu adalah keseluruhan iman.”
Lantaran itu, tiada sesuatu yang diturunkan oleh Allah Ta’ala dari langit yang sifatnya lebih mulia dan lebih berharga daripada keyakinan. Memadailah jika keyakinan itu saja menjadi hartabenda manusia.
Sabda Rasulullah Shalallahu alaihi wa aalihi wa shahbihi wa sallam:
لوا الله اليقين والعافية, فإنه ماأوتي أحد بعد اليقين أفضل من العافية.
“Pohonkanlah keyakinan dan keselamatan dari Allah Ta’ala, kerana seseorang itu tiada akan diberikan sesuatu karunia yang lebih utama sesudah keyakinan dari pada keselamatan.”
Yang dimaksudkan dengan tegas dalam agama, ialah berpegang teguh dengannya serta bersedia membelanya, berani berkata benar kendatipun pahit, dan tiada gentar orang untuk mempertahankan yang hak. Dengan sifat inilah, Allah Ta’ala telah memuji pecinta pecintaNya dalam AI-Quran AI-Karim:
يجاهدون في سبيل الله , ولا يخافون لومة لآئم. (المائدة: 54)
“Mereka berjihad (membela) di jalan Allah, dan mereka tiada gentar celaan orang yang suka mencela.” (AI-Maidah: 54)
Seterusnya hendaklah anda membaca ayat-ayat yang sebelumnya juga.
Rasulullah Shalallahu alaihi wa aalihi wa shahbihi wa sallam pernah mensifatkan Saiyidina Umar IbnulKhattab dengan sifat yang sama dalam sebuah sabdanya:
أقواكم في دين الله عمر, قوله الحق, وماله في الناس من صديق.
“Orang yang amat teguh dalam menjalankan perintah Allah ialah Umar. Semua kata-katanya benar, lantaran itu ia tidak punya rekan di antara orang ramai.”
Benarlah Saiyidina Umar adalah orang yang amat tegas di antara kaum Muslimin dalam menjalankan perintah Allah SWT, dan berpegang teguh dalam menguruskan semua urusan agama, terhadap dirinya sendiri mahupun orang lain. Beliau dijadikan contoh dan tauladan dalam keadilan, dan dalam memerintah mengerjakan kebajikan dan mencegah melakukan kejahatan. Beliau senantiasa berdiri atas yang hak dan benar terhadap rakan dan lawan. Moga-moga Allah Ta’ala ridha terhadapnya dan ridha sama terhadap para sahabat Rasulullah Shalallahu alaihi wa aalihi wa shahbihi wa sallam umumnya.
Adapun berhati lunak dalam pergaulan dengan kaum Muslimin; iaitu melengkapkan diri dengan sifat belas-kasihan, cinta dan sayang terhadap sesama Muslimin, kerana yang demikian itu adalah semulia mulia akhlak dan setinggi-tinggi budi luhur. Dengan sifat itulah Allah SWT telah memuji-muji Rasulullah Shalallahu alaihi wa aalihi wa shahbihi wa sallam di dalam firmanNya:
لقد جاءكم رسول من أنفسكم , عزيز عليه ما عنتم, حريص عليكم, بالمؤمنين رؤوف رحيم. (التوبة: 128)
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu, yang mengambil berat terhadap penderitaan kamu, penuh keinginan terhadap (keselamatan) kamu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman.” (At-Taubah: 128)
Sabda Rasulullah Shalallahu alaihi wa aalihi wa shahbihi wa sallam:
الرحمون يرحمهم الرحمن, ومن لايرحم لايرحم.
“Orang-orang yang mengasihani (orang lain) akan dikasihani Tuhan Pemurah. Siapa yang tidak mengasihani (orang lain) tidak akan dikasihani Tuhan.”
Sabdanya lagi:
إن أبدال أمتي لا يدخلون الجنة بكثرة صلاة ولا صيام, بل بسلامة الصدور,وسخاوة النفوس, والرحمة بكلمسلم.
“Sesungguhnya orang-orang yang terutama (wali-wali) dari umatku tidak akan masuk syorga kerana banyak sembahyang atau banyak puasa. Akan tetapi (mereka akan masuk syorga) kerana bersih hati, murah hati dan berbelas-kasihan terhadap setiap Muslim.”
Maksud Hadis ini tidaklah menunjukkan bahwa para wali Allah itu kurang mengerjakan ibadat seperti sembahyang dan puasa. Malah sebaliknya, mereka senantiasa memperbanyakkan ibadat sembahyang dan puasa serta melakukan lelain am alan yang saleh. Akan tetapi sifat-sifat mulia yang disifatkan Nabi kepada mereka itu telah lebih dahulu mendekatkan diri mereka kepada Allah Ta’ala, yang kerananya mereka memperoleh kelebihan dan keutamaan di sisiNya. Lantaran kelebihan dan keutamaan sifat-sifat ini dipandang lebih mulia dari lain-Iainnya dari amalan-amalan yang saleh, sebab sifat-sifat itu dari amalan hati dan rahasia kebatinan, maka hendaklah anda fahamkan baik-baik.