Berkata Al Habib Abdullah bin Alawi Al Haddad dalam kitab Nasoih Ad Diniyyah prihal Qiyamullail:
Kelebihan bangun malam
Adapun kelebihan bangun di tengah malam memang banyak dan pahalanya pun besar. Kalau hendak disebutkan kelebihan bangun di tengah malam dari AI-Quran dan Hadis tentulah banyak sekali, sukar hendak dihitung satu persatu.
Allah Ta’ala telah berfirman kepada RasulNya:
يأيهاالمزمل (1) قم اليل إلا قليلا (2) نصفه أو انقص منه قليلا (3) أو زد عليه ورتل القرءان ترتيلا (4) (المزمل:1-4
“Hai orang yang berseludung! Bangunlah di tengah malam kecuali sedikit masa saja. Seperdua darinya atau kurangkan sedikit dari itu. Atau lebih dari itu. Dan bacalah Al-Quran itu dengan teratur.” (AI-Muzzammil: 1-4)
FirmanNya lagi:
إن ربك يعلم أنك تقوم أدنى من ثلثى الليل نصفه وثلثه وطائفة من الذين معك (20) (المزمل : 20)
“Sesungguhnya Tuhan mu mengetahui, bahwasanya engkau bangun (beribadat) kurang dari dua pertiga malam, dan seperduanya, dan sepertiganya, dan juga orang-orang yang bersama-sama denganmu.” (AI-Muzzammil: 20)
FirmanNya lagi:
ومن اليل فتهجد به نافلة لك عسى أ يبعثك ربك مقاما محمودا (79) (الإسراء : 79
“Dan dari malam itu hendaklah engkau bangun tahajjud sebagai nafilah (ibadat tambahan) bagimu, moga-moga Allah akan mengangkatmu ke tingkat yang terpuji.” (Al-Isra’: 79)
Firman Allah Ta’ala pada memuji kaum Mu’minin:
تتجل جنوبهم عن الضاجع يدعون ربهم خوفا وطمعا ومما رزقنهم يفقون (16) (السجدة : 16
“Mereka meninggalkan tempat tidurnya untuk menyeru Tuhan mereka dalam keadaan takut dan harap, dan mereka membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (As-Sajdah: 16)
FirmanNya lagi:
كانوا قليلا م اليل ما يهجعون (17) وبالأسحار يستغفرون(18) (الذرية : 17-18
“Mereka mempergunakan hanya sedikit saja dari waktu malam untuk tidur. Dan di tengah malam, mereka senantiasa memohon ampun. ” (Az-Dzariyat: 17-18)
Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pula:
أفضل الصلاة بعد المكتوبة صلاة الليل
“Sembahyang yang paling utama sesudah sembahyang fardhu ialah sembahyang di tengah malam.”
Sabdanya lagi:
عليكم بقيام الليل، فإنه دأب الصالحين قبلكم، وقربة لكم، ومكفرة للسيئات، ومنهاة عن الإثم، ومطردة للداء عن الجسد
“Hendaklah kamu membiasakan diri bangun di tengah malam, kerana yang demikian itu adalah amalan yang dibiasakan oleh orang-orang saleh sebelum kamu. la juga sebagai suatu cara untuk mendekatkan diri kepada Tuhan, menebus kesalahan, menjauhkan diri dari dosa dan menyingkirkan penyakit dari tubuh.”
Sabdanya lagi:
ايها الناس , أفشوا السلام , وأطعموا الطعام , وصلوا الأرحام , وصلوا بالليل والناس نيام , تدخلوا الجنة بسلام
“Wahai sekalian manusia! Sebarkan salam (keamanan), berikanlah makan (kepada orang yang susah), hubungkanah silatur-rahim kepada kaum kerabat, dan jangan lupa sembahyang di tengah malam ketika manusia sedang tidur nyenyak, niscaya kamu akan memasuki syorga dengan penuh kesejahteraan.”
Sabdanya lagi:
صل من الليل ولو كحلب شاة
“Tunaikanlah sembahyang di tengah malam, kendatipun setakat masa memerah susu.”
Sabdanya lagi:
شرف المؤمن قيام الليل , وعزود استغناؤه عن الناس
“Seorang Mu’min akan menjadi mulia, bila ia sanggup bangun di tengah malam. Dan ia patut merasa megah, bila ia tidak berhajat kepada apa yang ada di tangan orang lain.”
Sabdanya lagi:
من قام بعشر آيات لم يكتب من الغافلين . ومن قام بمائة آية كتب من القانتين . ومن قام بألف آية كتب من المقنطرين
“Siapa yang bangun malam dengan membaca sepuluh ayat, tidak akan ditulis dari golongan orang-orang yang lalai. Siapa yang bangun malam dengan membaca seratus ayat, akan ditulis dari orang-orang yang taat. Dan siapa yang bangun malam dengan membaca seribu ayat, akan ditulis dari golongan orang-orang yang mempunyai ban yak bekal akhirat.”
Perkataan qinthaar, menurut sebuah Hadis lain ialah 12,000 uqiyah, dan setiap satu uqiyah lebih utama dari isi yang ada di antara langit dan bumi.
Kata setengah ulama pula: Dari surah Tabaarak (Al-Mulk) hingga ke akhir AI-Quran (juz 29-30) ada seribu ayat.
Dalam sebuah Hadis lain tersebut:
إن من اليل لساعة لايوافقها عبد مسلك يسأل الله خيرا من أمر الدنيا والأخرة إلا أعطاه إياه
“Sesungguhnya pada setiap malam ada suatu saat yang mana tiada seseorang hamba Muslim berada di saat itu, lalu ia memohon sesuatu yang baik dari urusan dunia dan akhirat, melainkan akan ditunaikan Allah permohonannya.”
Perkara itu tetap pada setiap malam. Andai kata tidak ada Hadis lain yang menyebut tentang kelebihan bangun malam dan beribadat di waktu malam kecuali Hadis ini saja, niscaya telah memadai.
Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
ينزل ربنا إلى سماء الدنيا حين يبقى ثلث الليل الآخر، فيقول هل من داع فأستجيب له، هل من سائل فأعطيه، هل من مستغفر فأغفر له
“Tuhan kita turun ke langit dunia, ketika tinggal sepertiga yang akhir dari waktu malam, lalu menyeru: Adakah siapa yang mahu memohon supaya Aku mengabulkannya? Adakah siapa yang mahu meminta supaya Aku memberi kepadanya? Adakah siapa yang mahu meminta keampunan supaya Aku mengampuninya?”
Renungkanlah Hadis ini dan Hadis sebelumnya, moga-moga Allah merahmati anda, dan tumpukanlah perhatian kepada kedua dua Hadis tersebut, mudah-mudahan akan terbuka hatimu untuk bangun beribadat di tengah malam, dan akan lengkap pula kecergasanmu serta benar kemahuanmu padanya. Di sebalik itu akan lenyap pula perasaan malas dan lalai, dan akan hilang daripadamu keinginan suka banyak tidur yang menyebabkan hilangnya keberkatan umur dan habisnya masa sesia.
Tersebut di dalam suatu atsar: Orang yang suka banyak tidur di waktu malam akan datang di Hari Kiamat sebagai seorang yang fakir. Yang lain pula berkata: Sesungguhnya dua rakaat di tengah malam itu adalah suatu dari perbendaharaan-perbendaharaan kebajikan.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
أقرب ما يكون العبد من ربه في جوف الليل، فإذا استطعت أن تكون مصليا في ذلك الوقت فكن
“Masa hamba amat hampir kepada Tuhan nya ialah di waktu tengah malam. Jika boleh sembahyang pada waktu itu, sembahyanglah!”
Sabdanya lagi:
يحشر الناس في صعيد واحد فينادي مناد : أين الذين كانت تتجافى جنوبهم عن المضاجع ؟ فيقومون وهم قليل فيدخلون الجنة بغير حساب …….. (الحديث
“Manusia akan dikumpulkan (di Hari Kiamat) pada suatu padang (Mahsyar), lalu suatu suara menyeru: Mana dia orang-orang yang telah meninggalkan tempat tidurnya (kerana beribadat di tengah malam)? Mereka lalu tampil ke hadapan dalam bilangan yang kecil saja, lalu mereka dibenarkan masuk syorga tanpa hisab lagi.”
Memanglah bangun di tengah malam itu merupakan seperkara yang berat sekali ke atas diri, terutama sekali sesudah tidur nyenyak. Akan tetapi ia boleh menjadi ringan bila telah dilazim dan dibiasakan, serta bersabar atas kesukarannya dan memaksa diri pada permulaannya. Sesudah itu yakinlah bahwa hati akan merasa lapang untuk berhadapan dengan Allah Ta’ala, dan akan terasalah pula kelazatan munajat kepadaNya dan kemanisan khalwat denganNya. Ketika itu ia tidak akan merasa puas untuk bangun malam saja, apakah lagi perasaan malas dan bosan itu akan terletak jauh daripadanya. Perkara serupa ini sering berlaku kepada para salihin dari hamba-hamba Allah, hingga setengah mereka berkata: Seandainya ahli syorga itu sering melakukan seperti yang kami lakukan kini, tentulah mereka itu akan berada dalam kehidupan yang bahagia sekali.
Yang lain pula berkata: Selama empat puluh tahun berlalu, tidak suatu pun yang mendukacitakan aku kecuali terbitnya fajar pagi.
Yang lain berkata lagi: Orang yang beribadat di waktu malam itu lebih merasa lazat dengan amalannya dari pada orang yang berpeleser dengan peleserannya.
Yang lain lagi: Kalaulah tidak kerana beribadat di waktu malam dan bertemu dengan kawan-kawan yang satu tujuan kepada Allah, niscaya aku tidak ingin hidup lagi di dunia ini.
Memang terdapat banyak cerita-cerita mengenai orang-orang yang beribadat di waktu malam itu, sehingga ada setengah mereka bersembahyang Subuh dengan wudhu’ sembahyang Isya’, radhiallahu’ anhum.
Firman Allah Ta’ala:
أولئك الذين هدى الله فبهد يهم اقتده (90) (الأنعام :90
“Mereka itulah orang-orang yang dipimpin oleh Tuhan, maka dengan pimpinan mereka itulah hendaknya engkau turut.” (Al-An’am: 90)
Lazimkanlah dirimu bangun di tengah malam, moga-moga Allah merahmatimu, peliharalah dia dan perbanyakkanlah ibadat padanya. Jadikanlah dirimu itu tergolong orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan bersopan-santun, dan apabila orang-orang yang bodoh mengemukakan pertanyaan kepadanya, mereka menjawab selamat. Dan mereka yang senantiasa bersujud dan berdiri menyembah Allah Ta’ala pada waktu malam. Contohilah mereka itu dalam sifat-sifatnya, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Allah di dalam AI-Quran. Kalaupun tidak boleh beribadat banyak di waktu malam, jangan sampai sedikit pun tidak boleh juga.
Firman Allah Ta’ala:
فاقرءوا ما تيسر من القرءان(20) (المزمل:20
“Bacalah sedikit sebanyak dari AI-Quran.” (AI-Muzzammil: 20)
Yakni: Membaca sedikit sebanyak dari AI-Quran dalam mendirikan ibadat di waktu malam.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
عليكم بقيام الليل ولو ركعة
Hendaklah kamu beribadat di waktu malam, meskipun setakat satu rakaat saja. “
Alangkah baik dan bagus sekali bagi orang yang menghafal AI-Quran AI-Karim, supaya membacanya setiap malam di waktu bangun beribadat di tengah malam, sekalipun sedikit saja darinya, seraya membacanya satu persatu dari awal AI-Quran hingga ke akhirnya, agar ia boleh pula mengkhatamkan AI-Quran itu di dalam ibadatnya di tengah malam, pada sebulan sekali, ataupun setiap empat puluh hari sekali, ataupun kurang ataupun lebih dari pada itu, menurut kecergasan dan kedaya-upayaannya.