Berkata Al Habib Abdullah bin Alawi Al Haddad dalam kitab Nasoih Ad Diniyyah prihal Hubungan bertetangga:
Berbakti kepada tetangga
Mengenai tetangga pula, Allah SWT telah memerintahkan supaya kita berbuat balk kepadanya, sesuai dengan firmanNya :
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ (النساء :36
“Dan sembahiah Allah, dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu apa pun, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang menjadi kerabat, tetangga yang bukan kerabat.” (An-Nisa’: 36)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri telah memandang berat terhadap hak tetangga. Baginda telah berpesan untuk berbakti kepada tetangga, dan melarang dengan keras dari menyusahkannya, sehingga baginda bersabda sebagai berikut:
ما زال حبريل يوصيني بالجار حتى ظننت أنه سيورثه
“Jibril terus-menerus berpesan kepadaku tentang hak tetangga, sehingga aku menyangka dia akan menerima warisan.”
Yakni, akan ditentukan sebahagian dari harta warisan itu untuk diberikan kepada tetangga.
Sabdanya Lagi:
من كان يؤمن بالله، واليوم الآخر، فليحسن إلى جاره
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaknya berbuat baik kepada tetangganya.”
Sabdanya lagi:
من آذى جاره فقد آذاني، ومن آذاني فقد آذى الله
“Sesiapa yang menyusahkan tetangganya, samalah seperti menyusahkan aku dan barang siapa yang menyusahkan aku, samaiah seperti menyusahkan Allah,”
Sabdanya lagi:
والله لايؤمن منلم يأمن جاره بوائقه
“Demi Allah, tiada beriman seseorang kamu, selagi tetangganya belum terlepas dari kejahatannya.”
Yakni, selagi ia masih mengacau tetangganya, menyusahkannya, memfitnahkan dan menimpakan berbagai kejahatan terhadapnya, maka belumlah ia dihitung seorang Mu’min yang baik.
Jelaslah kini, bahwa hak tetangga itu amat besar, dan berbuat baik kepada tetangga dikira di antara perkara-perkara yang terpenting di dalam agama. Berbakti kepada tetangga tidak akan sempurna, selagi tidak dihentikan segala yang menyusahkannya, dan menanggung segala kesusahan yang mungkin ditimpakannya ke atas kita. Di samping itu kita harus sentiasa berbudi kepadanya, sentiasa membuat kebajikan untuknya sekadar yang termampu oleh kita. Itulah sifatnya seorang Mu’min yang sempuma imannya, sesuai dengan maksud sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam :
أحسن مجاورة من جاورك تكن مؤمنا
“Berbuat baktilah kepada orang-orang yang bertetangga dengan anda, barulah anda menjadi seorang Mu’min.”
Tetangga yang lebih berhak mendapat kebaktian anda, ialah yang terlebih dekat pintunya kepada rumahmu, kemudian yang dekat dan yang dekat.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
إن من الجيران من له ثلاثة حقوق، وهو الجار المسلم ذو القرابة، ومنهم من له حقان، وهو الجار المسلم، ومنهم من له حق واحد وهو الجار الذمي
“Di antara tetangga yang mempunyai tiga hak :yaitu tetangga Muslim yang berkerabat dengan anda. Di antaranya yang mempunyai dua hak yaitu tetangga Muslim. Dan yang lain mempunyai suatu hak yaitu tetangga zimmi (orang kafir di bawah naungan Islam). “
Cuba anda perhatikan betapa Hadis tersebut di atas telah menetapkan hak ketetanggaan kepada jiran zimmi itu, padahal ia bukan seorang Muslim. Hal itu tiada lain melainkan menunjukkan betapa penting dan besarnya hak ketetanggaan itu dalam pandangan agama. Sebab itu hendaklah anda sentiasa memelihara hak itu dengan baik, serta menghulurkan kebaktian anda terhadap jiran sekadar yang termampu, sesudah menghentikan segala rupa penganiayaan dan kesusahan terhadapnya dan menanggung segala rupa penganiayaan dan kesusahan yang mungkin datang dari padanya. Dalam melaksanakan tugas yang berat ini hendaklah anda senantiasa bersabar dan memohon pertolongan dari Allah SWT
Firman Allah Ta’ala:
وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ (فصلت : 35
“Dan perbuatan itu tiada diberikan, kecuali kepada orang-orang yang bersabar, dan tiada yang memperolehnya melainkan orang yang mempunyai keberuntungan yang besar. ” (Fushshilat: 35)
Imam Ghazali rahimahullah telah menyediakan bab khas di dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin, di mana beliau telah melengkapkan suatu pembicaraan umum mengenai tetangga dan apa yang perlu dibuat oleh seorang tetangga terhadap tetangganya. Di antara yang disebutkan di situ ialah sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam seperti berikut:
أتدرون ما حق الجار؟ إن استعان بك أعنته، وإن استقرضك أقرضته، وإن افتقر جدت عليه، وإن مرض عدته، وإن مات تبعت جنازته، وإن أصابه خير هنأته، وإن أصابته مصيبة عزيته، ولا تستظل عليه بالبناء وتحجب عنه الريح إلا بإذنه، ولا تؤذه، وإن اشتريت فاكهة فأهد له، فإن لم تفعل قأدخلها سرا، ولا يخرج بها ولدك ليغيظ بها ولده، ولا تؤذه بقتار فدرك، إلا أن تعرف له منها، أتدرون ماحق الجار ؟ والذي نفسي بيده، لايبلغ حق الجار إلا من رحمه الله.
“Tahukah kamu apa dia hak seorang tetangga itu? Jika ia meminta tolong hendaklah anda menolongnya. Jika ia memohon pinjaman. hendaklah anda meminjamkannya. Jika ia susah, hendaklah anda bermurah hati kepadanya. Jika ia sakit, hendaklah anda melawatnya. Jika ia mati, hendaklah anda menghantar jenazahnya. Jika ia mendapat kebaikan, hendaklah anda turut gembira bersamanya. Jika ia mendapat kesusahan, hendaklah anda turut susah juga. Jangan meninggikan bangunan rumahmu, sehingga menahan angin ke rumahnya, melainkan dengan izinnya. Jangan menganiaya atau mengacaunya. Jika anda beli buah-buahan berilah sedikit kepadanya. Jika anda enggan memberi, maka hendaklah anda membawa masuk ke rumah dengan tidak menampakkannya kepada mereka. Jangan membenarkan anakmu memakannya di luar rumah, sehingga menimbulkan kemarahan anak-anaknya. Jangan mengacau mereka dengan bau periuk anda (makanan yang sedang dimasak), kecuali jika anda memang berniat untuk memberi mereka sedikit. Tahukah kamu apa dia hak seorang tetangga? Demi jiwaku yang berada di dalam genggamanNya, tiada siapa yang boleh memenuhi hak seorang tetangga, kecuali orang itu telah mendapat rahmat dari Allah Ta’ala. “
Para salaf saleh sentiasa berusaha dengan sungguh-sungguh untuk berbakti kepada tetangga-tetangga mereka, dan mencuba lebih dari kemampuan untuk menolak gangguan dan kesusahan daripada tetangga-tetangga mereka, sehingga ada berita yang mengatakan, bahwa di dalam rumah setengah-setengah para salaf itu terdapat banyak tikus. Apabila dikatakan kepada mereka: Mengapa tidak pelihara kucing? Jawab mereka: Aku khuatir kalau kerana adanya kucing di rumah ini nanti, semua tikus-tikus itu akan lari pula ke rumah-rumah jiran, maka perkara itu samalah seperti mengganggu jiran.