Berkata Al Habib Abdullah bin Alawi Al Haddad dalam kitab Nasoih Ad Diniyyah prihal kewajiban berzakat:
Perihal Zakat
Ketahuilah, wahai saudara-saudara sekalian, moga-moga Allah menjadikan kami dan kamu sebagai orang-orang yang bersih suci, yang senantiasa menyebut nama Tuhan seraya bersembahyang, dan tidak pula melebihkan kehidupan dunia dari pada akhirat, yang ia tentu sekali lebih utama dan lebih kekal. Bahwasanya zakat itu adalah salah satu asas bina Islam yang lima. Allah Ta’ala telah satukan sebutan zakat dengan sebutan sembahyang di dalam kitabNya, maka berfirman Allah Maha Tinggi:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ مِنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِنْدَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ ( البقرة : 110
“Dan dirikanlah sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan setiap pekerjaan baik yang kamu kerjakan untuk dirimu, niscaya akan kamu dapati kembali nanti pada sisi Tuhan , sesungguhnya Tuhan melihat apa yang kamu kerjakan.” (AI-Baqarah: 110)
Allah Ta’ala telah berfirman lagi dalam mensifatkan hamba hambaNya yang Mu’minin :
الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ(3)أُولَئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا (الأنفال : 3-4
“Mereka yang mengerjakan sembahyang, dan membelanjakan setengah dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang sebenarnya beriman.” (AI-Anfal: 3-4)
FirmanNya lagi:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ(71)(التوبة : 71
“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, setengah mereka menjadi pemimpin kepada setengah yang lain, mereka menyuruh berbuat yang baik dan melarang berbuat yang jahat, dan mereka mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat, serta mentaati Allah dan RasulNya. Itulah orang-orang yang akan diberi rahmat oleh Tuhan, sesungguhnya Tuhan itu Maha Kuasa lagi Bijaksana.” (At-Taubah: 71)
Selain yang tersebut ada lagi ayat-ayat lain yang membicarakan tentang zakat
Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pula:
من كان يؤمن بالله واليوم الآخر قايؤد زكات ماله
“Barang siapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia menunaikan zakat hartanya.”
Jelaslah menurut Hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ini, bahwa siapa yang tidak menunaikan zakat hartanya, tidak boleh dianggap seorang Mu’min sebenar.
Hendaklah anda ketahui juga, bahwa orang yang bersembahyang, berpuasa dan telah menunaikan hajinya, tetapi belum mengeluarkan zakat, niscaya Tuhan tidak akan menerima sembahyangnya, dan puasanya, serta hajinya sehingga ia mengeluarkan zakat. Sebab semua perkara-perkara ini adalah bertalian satu dengan yang lain. Tuhan tidak akan menerima dari hambaNya setengah ibadatnya, sehingga ia menyempurnakan kesemuanya, demikianlah sebagaimana yang diriwayatkan dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Kelebihan dan keutamaan zakat
Orang yang wajib berzakat itu, apabila mengeluarkan zakatnya tentu mendapat pahala yang besar dan ganjaran yang mulia, di samping memperoleh faedah dan keuntungan dunia dan akhirat. Di dalam harta itu terdapat beberapa bahaya, fitnah dan bencana yang tidak akan terlepas dari seseorang yang berharta itu melainkan setelah ia mengeluarkan zakatnya.
Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam:
غذا أديت زكاة مالك طيبة بها نفسك، فقد أذهبت عنك شره
“Jika anda menunaikan zakat hartamu dengan senang hati, maka sebenarnya anda telah terselamat dari bencananya.“
Demikian pula harta yang telah dizakatkan itu tidak akan ditimpa kerosakan dan kebinasaan, sebagaimana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda:
ما هلك مال في بحر ولا بر إلا بحبس الزكاة
“Tidak akan binasa harta yang di laut ataupun di darat, melainkan dengan Menahan zakatnya.”
Sabdanya lagi:
حصنوا أموالكم بالزكاة. وداووا مرضاكم بالصدقة
“Bentengi harta kamu dengan mengeluarkan zakat, dan ubati pesakit-pesakit kamu dengan mengeluarkan sedekah.”
Harta yang telah dizakatkan itu terbentang dan terpelihara dalam pemeliharaan Allah Ta’ala, kerana harta itu bersih dan telah diberkati. Manakala harta yang tidak dizakatkan itu adalah harta tersia-sia, kerana ia kotor dan tidak diberkati.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam :
ماخلطت الزكاة مالا إلا محقته
“Tiada suatu harta yang bercampur dengan zakat (tidak dizakatkan), melainkan ia memusnahkannya.”
Apalah baiknya, dan apalah gunanya harta yang telah terangkat berkatnya, dan yang tinggal hanya bencana dan fitnah semata-mata. Sedang terhapusnya berkat dari sesuatu harta itu ada kalanya secara lahir dapat terlihat; yaitu terhapusnya gambaran harta itu, dan kembalinya manusia sesudah kaya-raya menjadi miskin dan papa kedana, hidup penuh gelisah dan keluh-kesah, merasa bosan terhadap ketentuan Allah Ta’ala. Perkara serupa ini sering menimpa ke atas banyak orang yang mengambil enteng terhadap kewajiban zakat.
Adakala pula terhapusnya berkat dari sesuatu harta itu secara batin; yaitu harta yang dikumpul itu tetap ada di tangan, semakin hari semakin bertambah, namun tuannya tidak pula memanfaatkan harta itu, sama ada pada kepentingan agamanya, seperti menginfakkannya pada sesuatu jalan kebajikan, mahupun pada kepentingan diri sendiri, seperti membelanjakannya untuk menutup hajat dan keperluan hidup sehari-hari. Sebaliknya, ada pula yang terus hidup celaka dan susah, kerana ia rasa sayang hendak mengeluarkan hak (zakat) harta itu, tetapi tidak sayang untuk mengeluarkannya pada jalan-jalan yang ditegah oleh agama, seperti membelanjakannya untuk berbuat maksiat, mudah-mudahan Allah melindungi kita dari padanya, ataupun membelanjakannya pada memburu nafsu dan syahwat kebinatangan yang tidak akan mendatangkan faedah atau hasil yang baik.
Menahan zakat berdosa besar
Adapun Menahan hak zakat dari sesuatu harta itu adalah berdosa besar. Ada banyak firman dan Hadis yang membawa ancaman dan bantahan yang keras terhadap orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat. Adalah dikhuatirkan orang yang Menahan zakat itu akan mati dalam suul-khatimah, dan meninggalkan dunia dalam keadaan menyimpang dari Agama Islam. Di antara yang Menahan zakat juga, ada yang disiksa di dunia sebelum mati, umpamanya Qarun dari kaum Bani Israil.
Firman Allah Ta’ala menceritakan tentang peribadi Qarun:
فخسفنا به وبداره الأرض (القصص : 81
“Lalu dia Kami benamkan di dalam tanah beserta rumah tangganya (harta kekayaannya).” (Al-Qashash: 81)
Ada suatu riwayat yang menggambarkan harta yang tidak dizakatkan itu sebagai seekor ular yang besar di Hari Kiamat, lalu ular itu membelit leher orang yang mempunyai harta itu.
Firman Allah Ta’ala:
سيطوقون ما بخلوا به يوم القيمة (ال عمران: 180
“Harta yang mereka kikirkan itu akan digantung di leher merekadi Hari Kiamat. “ (Ali Imran: 180)
Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam :
مامن صاحب ذهب ولا فضة، لايؤذي منها حقها، إلا إذا كان يوم القيامة، صفحت له صفائح من نار، فأحمي عليها في نار جهنم، فيكوى بها جبينه وظهره، كلما بردت أعيدت له في يوم كان مقداره خمسين ألف سنة
“Setiap tuan punya emas dan perak yang tidak mengeluarkanhaknya (zakatnya) melainkan di Hari Kiamat kelak emas dan perakitu dibentuk menjadi papan-papan api yang dipanaskan di dalamneraka Jahannam, lalu dikelarkan kepada dahi, rusuk dan belakangnya,setiap kali papan-papan api menjadi sejuk, dipanaskan semula,setiap hari panjangnya sama dengan lima puluh ribu tahun.”
Dalam riwayat yang lain, menyebut bahwa tuan punya binatang-binatangyang tidak mengeluarkan zakatnya, kelak pada Hari Kiamatbinatang-binatang itu akan datang dalam bilangan yang lebih banyak,lalu menginjak-injak tuannya, ada yang menendang, ada yangmenggigit dan ada yang menanduk.