Berkata Al Habib Abdullah bin Alawi Al Haddad dalam kitab Nasoih Ad Diniyyah prihal Puasa di bulan Ramadhan tentang Adab dan tata tertib puasa:
Tertib puasa
Setiap orang yang berpuasa mempunyai tata-tertib, tiada sempuma puasa itu tanpa tata-tertibnya.
Di antara tertibnya yang terpenting ialah, memelihara lidah supaya tidak berdusta, mencaci orang, mencampuri urusan orang lain, mengekang mata dan telinga dari pada mendengar atau melihat sesuatu yang tidak halal, yang kira-kira dianggap tidak ada kena mengena dengan dirinya.
Seterusnya, hendaklah ia Menahan perutnya dari menelan makanan yang haram, atau yang syubhat, terutama sekali ketika waktu berbuka puasa, wajib ia berusaha mencari yang halal menjadi makanan buka puasanya.
Setengah para salaf berkata: Jika anda berpuasa, perhatikanlah apa bendanya yang anda berbuka, dan tempat siapa anda berbuka. Hal ini menganjurkan kita supaya berjaga-jaga dan mengambil berat terhadap makanan buka kita.
Seterusnya setiap orang yang berpuasa itu harus memelihara semua anggotanya dari berbuat dosa, dan menjauhkannya dari segala urusan yang tidak mengenainya. Dengan itu barulah sempurna dan bersih puasanya. Betapa banyak orang yang berpuasa, berpenat lelah disebabkan lapar dan dahaga, kemudian ia membiarkananggotanya terjerumus ke dalam maksiat. Sebab itu rusaklah puasanya, dan sesialah penat-lelahnya, seperti mana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
كم من صائم ليس له من صيامه إلا الجوع والعطش
“Betapa banyak orang yang berpuasa, tiada mendapat sesuatu dari puasanya selain lapar dan dahaga.”
Meninggalkan maksiat itu menjadi wajib buat selama-lamanya ke atas orang yang berpuasa dan orang yang tidak berpuasa. Hanya terhadap orang yang berpuasa lebih wajib memelihara diri, karena kepadanya sangat dituntut dan dikuatkan.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
(الصوم جنة، فإذا كان يوم صوم أحدكم، فلا يرفث ولا يفسق ولا يجهل، فإن امرؤ شاتمه أو قاتله، فليقل إني صائم …………….(الحديث
“Puasa itu adalah pendinding, maka apabila seseorang kamu menempuh hari puasanya, hendaklah ia tiada bercakap kotor, tiada berlaku jahat, dan tiada menjahili sesuatu hukum; jika orang mencercanya, atau mengajak berkelahi, hendaklah ia mengatakan: Sesungguhnya aku ini sedang berpuasa.”
Di antara tertib-tertib puasa yang lain; yaitu hendaklah seorang yang berpuasa itu tidak terlalu banyak tidur di waktu siang, terlalu banyak makan di waktu malam. Hendaklah ia sederhana dalam kedua perkara tersebut, agar ia dapat merasakan pedihnya lapar dan dahaga, kelak dengan itu jiwanya boleh terdidik, syahwatnya boleh menjadi kurang dan hatinya akan bercahaya. Di situlah terletaknya rahasia dan tujuan puasa yang sebenarnya.
Seterusnya, hendaklah ia meninggalkan segala kemewahan dalam serba-serbi, dan memperbanyakkan makanan dan minuman yangmembuka selera dan yang lazat-lazat, sebagaimana yang telah kami huraikan sebelum ini. Sekurang-kurangnya ia tidak melebihi kebiasaannya pada bulan Ramadhan dalam menjamu selera, malah sama belaka dengan bulan-bulan yang lain jua. ltu adalah sekurang kurang yang patut dibuat. Kalau tidak, maka pada mendidik jiwa dengan menjauhi segala kehendak hawa nafsu akan meninggalkan kesan yang baik dalam membekalkan cahaya nurani di hati, dan hal ini hanya boleh dituntut khususnya pada bulan Ramadhan saja.
Adapun orang-orang yang menjadikan bulan Ramadhan itu sebagai adat dan kebiasaan untuk menjamu selera serta menurutkan kehendak dan tuntunan nafsu syahwat yang tidak pernah dilakukan pada selain bulan Ramadhan, maka mereka itu telah diperdayakan oleh syaitan yang sentiasa memendam perasaan dengki terhadap manusia, sehingga lenyaplah segala berkat puasa mereka, dan tidak lahir kesan-kesan puasa itu dan cahaya dan mukasyafah, khusyu’ kepada Allah Ta’ala dan merendah diri di hadapanNya, merasa lazat dengan bermunajat kepadaNya serta membaca firman-firman di dalam KitabNya dan berzikir sepenuh masa kepadaNya.
Ketika menghadapi Ramadhan, para salaf rahmatullahi-‘alaihim senantiasa mengurangkan segala adat kebiasaan mereka sehari-hari, mengekang kehendak dan tuntutan syahwat. Di samping itu mereka senantiasa melebihkan amalan-amalan saleh terutamanya pada bulan Ramadhan, kendatipun mereka memang sudah terkenal sebagai orang-orang yang banyak beramal. pada sepanjang masa.
Di antara tertibnya yang lain, hendaklah tidak terlalu banyak melibatkan diri di dalam urusan dunia pada bulan Ramadhan. Tetapi hendaklah ia menumpukan dirinya untuk beribadat kepada Allah sebanyak-banyaknya, dan berzikir kepada Allah seboleh-bolehnya. Tidak mengusahakan sesuatu dari urusan dunia, melainkan yang perlu untuk dirinya dan orang-orang dalam tanggungannya, seperti anak-isteri dan sebagainya. Sebab bulan Ramadhan itu bila dibandingkan dengan selain bulan, sama seperti kelebihan hari Jum’at di antara selain hari. Maka adalah wajar bagi setiap Mu’min mengkhususkan hari Jumaat dan bulan Ramadhan untuk persediaan hari akhiratnya.
Di antara yang sunnat bagi orang yang berpuasa ialah menyegerakan berbuka puasa. Sebaik-baiknya dimulakan dengan buah korma, jika tidak didapati, dimulakan saja dengan air. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berbuka dahulu sebelum menunaikan sembahyang Maghrib. Baginda bersabda:
لاتزال أمتي بخير، ماعجلوا الفطر، وأخروا السحور.
“Umatku tetap akan berada di dalam kebaikan, selama mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan makan sahur (makan malam).”
Jelas dari Hadis ini, bahwa melewatkan makan malam untuk orang berpuasa itu menjadi amalan yang sunnat juga.
Hendaklah bagi orang yang berpuasa membiasakan diri makan sedikit, tidak terlalu banyak makan, sehingga dapat dirasakan kesan puasa itu ke atas dirinya, kelak ia akan memperoleh rahasia dantujuannya berpuasa yaitu mendidik jiwa dan mengurangkan nafsu dan syahwat. Sebab berlapar dan mengosongkan perut itu meninggalkan kesan yang baik untuk menerangi hati nurani serta menimbulkan semangat pada anggota badan untuk beribadat. Manakala kenyang perut itu puncak segala kekerasan dan kelalaian hati, dan menimbulkan perasaan malas untuk beribadat.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
ما ملأ ابن آدم وعاء شرا من بطنه. حسب ابن آدم لقيمات يقمن صلبه، فإن كان لا محالة، فثلث لطعامه، وثلث لشرابه، وثلث لنفسه .
“Tidak ada suatu bekas yang dipenuhkan oleh anak Adam lebih buruk dari perutnya. Memadailah bagi anak Adam itu beberapa suap untuk menyambung hidupnya. Jika ini juga tidak mencukupi, maka hendaklah sepertiga untuk makannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga lagi untuk pernafasannya. “
Kata setengah ahli pendita: Jika perut kenyang, laparlah segala anggota. Dan jika perut lapar, kenyanglah segala anggota.
Kataku pula: Jika anggota itu merasa lapar, maka yang demikian itu berarti ia menuntut dan sangat mementingkan nafsu dan syahwat. Ketika itu anggota lisan ingin berkata-kata, anggota mata ingin melihat, dan anggota telinga ingin mendengar, dan seterusnya dengan selain anggota, masing-masing anggota ini menuntut kehendak nafsu dan syahwatnya ketika perut sedang kenyang. Tetapi apabila perut itu lapar, akan merasa tenanglah semua anggota itu, yang diumpamakan dengan kenyangnya segala anggota tadi. Hal semacam ini memang selalu berlaku dan sudah tidak perlu bukti lagi. Wallahua’lam.
Di antara yang sangat dianjurkan ialah mengundang untuk berbuka puasa kepada orang-orang yang berpuasa, sekalipun dengan beberapa butir korma, ataupun dengan sedikit air minum.
An Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:
من فطر صائما كان له مثل أجره من غير أن ينقص من أجره شئ.
“Siapa yang mengundang orang berpuasa untuk berbuka, maka baginya pahala orang berpuasa tidak dikurangi dari pahala itu barang sedikit pun.”
Yakni: Orang yang mengundang untuk berbuka puasa itu akan mendapat pahala yang sama dengan orang berpuasa tadi. Dan pahala itu dikhususkan untuk orang yang mengundang untuk berbuka saja, sekalipun dengan segelas air. Adapun mengundang orang makan sesudah ia berbuka di rumahnya, ataupun mengundang makan di masa yang lain, maka tiadalah ia mendapat pahala yang besar ini. Dia hanya mendapat pahala mengundang makan saja, dan pahalanya pun besar juga. Hanya pahala orang yang mengenyangkan orang berpuasa, dengan apa makanan sekalipun, sehingga orang yang berpuasa itu merasa kenyang, pahalanya besar dan banyak sekali.
Subhanallah sangat bermanfaat untuk materi kultum di sekolah..
Alhamdulillah
Mudah2an makin bermanfaat